Hari Buku Sedunia :)






Hari ini merupakan hari yang telah diisytiharkan sebagai Hari Buku Sedunia (HBS). Pada 23 April setiap tahun semua masyarakat menyambutnya. Sememangnya, masyarakat di negara-negara Barat tidak asing berkenaan dengan tarikh ini.
Walau bagaimanapun, di Malaysia kemungkinan pada tarikh ini kurang diberi perhatian oleh generasi muda mahupun yang ‘veteran’ kerana budaya membaca di kalangan rakyat kita yang masih di tahap semaian berbanding dengan negara yang maju seperti Perancis, Jerman dan negara Eropah yang lain. Ramai yang tidak peka dengan peristiwa ini jika dibandingkan dengan 14 Februari yang dimeriahkan oleh pasangan sedang hangat bercinta iaitu Valentine Day.
Namun begitu, menurut kajian Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bahawa rakyat Malaysia hanya membaca 2 helai muka surat setahun harus diberi perhatian. Adakah benar kajian ini? Jika dilihat dari segi masa sekarang dapat dilihat bagaimana masyarakat Malaysia sudah mula membudayakan pembacaan dalam kehidupan seharian. Buktinya, setiap bulan April sambutan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur diadakan, sambutan begitu menggalakkan daripada rakyat Malaysia sehingga mencecah lebih sejuta pengunjung sepanjang pesta ini berlangsung. Di sini, terhimpunnya segala jenis ilmu dan maklumat melalui buku. Kesempatan itu juga, pengunjung dapat berkenalan dengan penulis kesayangan mereka. Sememangnya, penulis di Malaysia sudah mempunyai peminat mereka tersendiri. Ini membuktikan bahawa kajian yang dilakukan oleh PNM sudah tidak boleh digunapakai lagi. Seiring dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi, masyarakat kita sudah mula semakin celik mengenai dunia pembacaan dan perbukuan dalam kehidupan.
Kemajuan teknologi melalui blog misalnya, telah memberi satu lembaran baru kepada peminat buku dengan menjadikan ruangan ini sebagai satu medan dan pusat perhimpunan untuk berkongsi maklumat dengan golongan yang mempunyai kegemaran yang sama. Melaluinya, perkenalan secara maya ini mencambahkan perkongsian pengalaman dan pengetahuan antara satu sama lain sehingga mewujudkan satu komuniti mereka tersendiri sebagaimana Malaysia@Goodreads. Setiap isi buku didedahkan melalui resensi di blog masing-masing. Ini memberi peluang kepada pengunjung untuk mengetahui daya tarikan sesebuah buku itu seolah-olah ruangan ini dijadikan sebagai gelanggang mempromosi atau pencetus minat kepada individu yang belum membedahi isi buku tersebut agar turut sama-sama menghayatinya.
Maka, media adalah wahana yang terbaik untuk menyebarkan dan memeriahkan sambutan 23 April di negara kita. Mungkin ada yang masih tidak tahu dengan sambutan ini kerana kurangnya pendedahan oleh media berbanding sambutan lain. Sehubungan itu, seiring dengan kemeriahan PBAKL09 yang sedang berlangsung kini,  SELAMAT HARI BUKU SEDUNIA untuk semua warga Malaysia dan semoga indeks pembacaan rakyat semakin meningkat setiap tahun seiring dengan rakan-rakan kita di negara maju.

No comments:

Post a Comment